Translate

Saturday, September 12, 2015

SUMBER PERUNDANGAN ISLAM

SUMBER PERUNDANGAN ISLAM

PENGENALAN      

                        Islam merupakan agama yang lengkap dan sesuai untuk sepanjang zaman. Islam juga menyediakan sistem yang teratur dan menetapi seluruh aspek kehidupan . Sistem perundangan Islam merangkumi setiap bidang kehidupan manusia. Dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai khalifah, Rasul diutuskan  untuk memandu perjalanan hidup manusia agar bertepatan dengan peraturan dan arahan yang telah ditetapkan Allah S.W.T.
Panduan ini adalah penting untuk menjawab sebarang kekeliruan yang timbul dalam proses perjalanan hidup manusia. Oleh sebab Rasulullah tidak lagi hidup kini , baginda telah meninggalkan Assunah agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan berlandaskan syariat Islam yang betul dalam apa jua aspek seperti munakahat, perundangan ,akhlak dan lain-lain.











1.         SUMBER-SUMBER PERUNDANGAN ISLAM
            Dalam perundangan Islam,terdapat dua jenis sumber hukum iaitu sumber yang disepakati juga dikenali sebagai dalil qat’ie yanag bermaksud dalil-dalil yang disepakati oleh para ulama dan sumber yang tidak disepakati. Sumber ini juga digelar dalil zanni yang bermaksud dalil yang tidak disepakati oleh para ulama. Sumber atau dalil digunakan oleh para ulama mujtahid untuk menetapkan hukum terhadap amalan dan perbuatan yang dilakukan oleh mukalaf.

1.2 : SUMBER-SUMBER YANG DISEPAKATI
            Terdapat 4 sumber yang disepakati oleh para ulama mujtahid iaitu Al-Quran, Assunah ijmak ulama dan qias.[1]
1.2.1 : Al-Quran Al-Karim
            Al-Quran ditakrifkan sebagai kalamullah yang bermukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membacanya adalah ibadah.[2]  
            Al-Quran merupakan sumber utama perundangan Islam yang mana bahasa yang digunakan sangat indah dan ternyata tidak dapat ditandingi oleh sasterawan sepanjang zaman. Al-Quran juga sebagai sumber panduan dan rujukan yang sesuai untuk sepanjang jalan. Terdapat 3 jenis hukum yang terdapat dalam Al-Quran iaitu hukum yang berkaitan dengan akidah iaitu hukum yang berhubung dengan perkara pokok tentang agama. Hukum yang kedua ialah yang berkaitan dengan amalan iaitu hukum yang berkaitan dengan tindakan mukalaf dan hukum yang ketiga ialah hukum yang berkaitan dengan akhlak manusia yang mana menyuruh kita ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.[3]
PERANAN AL-QURAN DALAM PERUNDANGAN ISLAM
            Antara peranan Al-Quran ialah membawa dalil-dalil yang berbentuk umum. Di dalamnya mengandungi hukum dan ditasirkan oleh nabi Muhammad melalui hadith baginda, seterusnya ulama. Selain itu, Al-Quran memgandungi tegahan dan arahan secara langsung yang digunakan sebagai penetapan daripada Allah tanpa sebarang tafsiran. Untuk mengeluarkan hukum yang bersumberkan Al-Quran ,para ulama perlu mengkaji sebab turun ayat dan mengkaji dari segi nasakh dan mansukhnya. Peranan yang ketiga ,dalam sesetengah keadaan , Al-Quran menjelaskan hukum yang terkandung di dalam kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya seperti Injil,Taurat dan Zabur dan hukumnya terus ditetapkan untuk umat Islam kecuali ada ayat yang memansukhkan hukum tersebut.[4]
1.2.2 : Assunnah
            Assunnah merupakan sumber perundangan kedua iaitu selepas Al-Quran. Pengertian Assunah dari sudut bahasa ialah perjalanan,kelakuan atau perangai sama ada baik atau tidak . Dari sudut istilah ialah segala yang disandarkan kepada Nabi Muhammad dari segi perbuatan,tingkah laku, sifat, perjalanan hidup, pengakuan dan takrir sama ada sebelum baginda menjadi rasul ataupun selepas menjadi rasul.[5]
KEHUJAHAN ASSUNNAH DALAM PERUNDANGAN ISLAM
            Para ulama bersepakat menerima kehujahan assunah dalam mengeluarkan hukum syarak. Hal ini berdasarkan dalil Al-Quran ,hadith dan ijmak ulama. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
وما ءاتكم الرسول فخذوه وما نهكم عنه فانتهوا[6]
Maksudnya:
Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamumaka ambillah akan dia serta amalkan, apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.”
Hujah dari dalil hadith yang bermaksud : Ingatlah! Sesungguhnya aku diberikan Al-Quran dan seumpama dengannya, iaitu hadith.
Seterusnya , hujah dari ijmak ulama ialah Nabi Muhammad bersifat maksum iaitu terpelihara daripada melakukan maksiat dan diberikan beberapa mukjizat untuk mengukuhkan kedudukan baginda sebagai utusan Allah dan sebagai tempat rujukan umatnya. Kedua, para sahabat dan ulama telah bersepakat meengatakan wajib mengikut suruhan Nabi Muhammad, yang mana sahabat sentiasa melakukan perintah rasul dan jauhi larangannya. Ketiga,  secara qat’ie ditetapkan bahawa Rasulullah adalah utusan daripada Allah dan kita dikehendaki beriman degan apa yang dibawa olehnya.[7]
1.2.3: Ijmak Ulama
            Ijmak dari segi bahasa ialah berazam dan bersungguh-sungguh dalam menghasilkan sesuatu sesuatu. Menurut istilah, ijmak bererti persepakatan para ulama mujtahid daripada umat Nabi Muhammad dalam perkara yang berhubung dengan hukum syarak. Persepakatan para ulama mujtahid bermaksud mereka yang mempunyai kebolehan dalam mengeluarkan hukum syarak berdasarkan dalil-dalil yang terperinci dan mereka mestilah dari kalangan umat Nabi Muhammad.[8]

KEHUJAHAN IJMAK
            Ulama bersepakat mengatakan ijmak adalah sumber ketiga dalam perundangan Islam. Hal ini kerana terdapat nas dan ayat yang dapat difahami bahawa perkara yang dikhilafkan oleh ulama wajib dirujuk kepada Al-Quran dan Assunnah. Ini bererti,perkara yang disepakati oleh para ulama wajib kita laksanakan.terdapat dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadith tentang penggunaan ijmak dalam penetapan hukuman syarak. Daripada dalil Al-Quran, Allah berfirman:
وكذلك جعلنكم أمة وسطا لتكونوا شهداء علئ اللناس[9]
Maksudnya:
dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu tidak layak menjadi orang yang member keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
Surah al-Baqarah(2):143
Sedia maklum, hadith mempunyai pelbagai bentuk dan hadith difahami oleh umat Islam serta para ulama mujtahid akan tetapi,mustahil mereka akan bersepakat terhadap perkara yang salah. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
لا تجمع امتئ علئ الخطا[10]
RUKUN IJMAK
            Rukun ijmak dibahagikan kepada empat iaitu semua ulama mujtahid mestilah bersepakat mengenai hukum syarak terhadap masalah yang berkaitan. Kedua, wujudnya sejumlah ulama mujtahid pada masa berlakunya sesuatu perkara atau masalah. Seterusnya, semua ulama bersepakat mengenai hukum tersebut dan yang keempat ialah ulama bersepakat mengeluarkan hukum tersebut dengan pendapat masing-masing secara tegas sama ada berupa perkataan, perbuatan baik secara bersendirian atau berkumpulan.[11]
            Antara contoh-contoh ijmak ialah para ulama telah bersepakat bahawa solat lima waktu adalah fardu dan pelaksanaanya tidak boleh ditunda dengan sengaja. Kedua, para ulama bersepakat bahawa pelaku dosa besar dan orang yang berterusan melakukan dosa kecil ditolak penyiksaan mereka. Contoh yang ketiga ialah para ulama bersepakat bahawa haram bagi seorang suami menyetubuhi isterinya ketika haid.
            Syarat-syarat  ijmak ialah ahli ijmak mestilah bersifat adil iaitu seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar serta tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Kedua, ahli ijmak mestilah terdiri daripada kalangan para ulama mujtahid. Seterusnya, berlaku persepakatan di kalangan seluruh ahli mujtahid. Syarat yang keempat ialah wujud lebih seorang mujtahid pada sesuatu zaman. Syarat yang kelima ialah tidak ada ahli ijmak yang menarik balik persepakatan yang telah dibuat.[12]
1.2.4 : Qias
            Qias dari segi bahasa bermaksud pengukuran atau penyamaan. Dari segi istilah ialah menyamakan masalah yang tidak jelas hukumnya dalam nas dengan masalah yang dijelaskan hukumnya dalam nas kerana terdapat persamaan illah pada kedua maslah tersebut.
KEHUJAHAN QIAS
            Qias merupakan dalil yang berautoriti dalam syariat. Ini berdasarkan dalil Al-Quran iaitu firman Allah:
فاعتبروا ياولئ الأبصر[13]
Maksudnya:
“Ambillah iktibar wahai orang-orang yang mempunyai akal.”
Surah al-Hasyar(59):2                                                                                      
Menurut assunah pula menceritakan bahawa sebelum Mu’az bin Jabal diutus ke Yaman, Rasulullah pernah bertanya beliau tentang cara penyelesaian masalah yang akan dilakukan jika tiada penjelasannya dalam Al-Quran dan assunah. Mu’az bin Jabal menjelaskan bahawa beliau akan berijtihad dan Rasulullah telah memperkenankan jawapan beliau. Oleh itu, qias diakui oleh Rasulullah kerana ianya adalah sebahagian daripada ijtihad. Menurut amalan para sahabat pula ialah para sahabat juga beramal dengan qias. Umar bin Al-Khatab pernah menulis surat kepada Abu Musa Al-Ashaari yang telah dilantik menjadi gabenor di Basrah supaya menggunakan qias. Antara kandungan surat umar ialah: “pastikanlah perkara-perkara yang sama dan setanding serta qiaskan semua masalah yang ada pada kamu dengannya”. Menurut dalil aqli pula, nas Al-Quran dan assunah tidak memperincikan semua perkara yang berlaku didunia. Jika qias tidak dianggap sebagai dalil hukum, pasti banyak masalah baru yang tidak boleh ditentukan hukumya. Ini adalah berlawanan dengan syariat Islam yang bersifat lengkap serta kekal sehingga hari kiamat.[14]
Rukun qias dapat dibahagikan kepada empat iaitu perkara yang diqiaskan kepadanya, perkara yang diqiaskan, sifat yang sama antara keduanya dan hukum asal yang sabit dengan nas. Sebagai contoh,perkara yanag diqiaskan kepadanya ialah arak, perkara yang diqiaskan ialah air tapai yang memabukkan, sifat yang sama antara keduanya ialah memabukkan dan hukum asalnya ialah haram. Jadi hukum minum arak adalah haram.[15]

1.3 : DALIL-DALIL TIDAK DISEPAKATI
            Selain daripada empat dalil-dalil yang disepakati di atas, terdapat juga dalil –dalil yang tidak disepakati iaitu istihsan, masalih mursalah, istishab, saddu zara’i, qaulu sohabi, amalul ahli madinah, syar’u min koblana, dan uruf wa adat.
1..3.1: Istihsan
            Istihsan bermaksud menngunakan qias yang tidak nyata dengan meninggalkan qias yang nyata atau mengecualikan sesuatu perkara dari dalil atau kaedah yang umum berdasarkan dalil-dalil yang tertentu.
            Sebagai contoh, sisa minuman burung helang dianggap suci dengan mengkiaskan kepada lebihan minuman manusia kerana persamaan kedua-duanya dari segi dagingnya yang tidak halal di makan. Istihsan mengambil qias yang tidak nyata iaitu tidak nyata  persamaanan antara kedua- duanya . Jika digunakan qias yang nyata iaitu dengan menqiaskan kepada sisa minuman binatang buas seperti harimau ataupun singa hukumnya tidak suci dan sudah pasti tidak boleh diminum. [16]
1.3.2 : Masalih Mursalah
            Nama lain bagi masalih mursalah ialah istislah yang mana bermaksud kemaslahatan atau kebaikan sementara menurut bahasa mursalah pula bererti dilaksanakan. Menurut istilah, masalih mursalah bererti menentukan hukum sesuatu berdasarkan kepada kemaslahatan tertentu yang tiada ketentuan nas mahupun ijmak yang menerima atau menolaknya.
            Masalih mursalah dapat dibahagikan kepada tiga tahap iaitu keperluan yang mendesak iaitu keperluan-keperluan utama yang manusia bergantung kepadanya. Sebagai contoh, disyariatkan hukuman qisas untuk memelihara nyawa manusia dan dibenarkan memakan bangkai ketika terdesak sekadar untuk meneruskan kehidupan.  Tahap yang kedua dipanggil keperlulan biasa iaitu kepeluan yang diperlukan oleh manusia untuk mengelakkan diri daripada kesukaran. Tahap yang terakhir ialah keperluan kesempurnaan yang mana ianya diperlukan untuk keselesaan hidup manusia.[17]
1.3.3 : Istishab
            Istishab bererti menngunakan sesuatu hokum yang sabit melalui dalil pada masa lalu sehingga ada dalil yang lain mengubahnya. Contonya, seseorang yang telah berwuduk dikira berkekalan dalam wuduknya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan wuduknya telah batal. Oleh itu, jika seseorang itu syak tentang kesempurnaan wuduknya sama ada masih ada atau tidak , ianya dikira masih ada dan kekal dalam keadaan berwuduk.[18]

1.3.4 : Saddu Zara’i
            Saddu zara’i dari segi bahasa bermaksud menutup jalan-jalan kejahatan. Menurut istilah syarak bermaksud menghalang perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang haram.
            Terdapat empat jenis saddu zara’i, iaitu sesuatu yang pasti membawa kepada keburukan seperti membuang bahan tugasan ke sungai. Kedua, sesuatu yang besar kemungkinan membawa kepada keburukan seperti menjual anggur kepada pembuat arak. Ketiga, sesuatu yang berkemungkinan membawa kepada keburukan seperti menjual barang secara bertangguh kerana boleh membawa kepada riba. Keempat, sesuatu yang jarang membawa kepada keburrukan seperti menngali lubang di tempat-tempat yang jarang dilalui oleh manusia. [19]
1.3.5 : Syar’u Min Koblana
            Syar’u min koblana bermaksud syariat yang wujud sebelum rasulullah diutuskan sebagai penunjuk jalan. Maksud menurut istilah ialah syariat-syariat rasul terdahulu yang terdapat dalam Al-Quran atau assunah tetapi tiada arahan supaya kita mengikutinya. Sebagai contoh ialah syariat Nabi Musa a.s dan Nabi  Adam a.s .

1.3.6 : Kaulu Sohabi
            Kauli sohabi bererti kata-kata atau perbuatan orang yang pernah bertemu dengan rasulullah yakni para sahabat baginda dalam keadaan beriman serta berdamping dengannya untuk jangka masa yang lama. Dalam ayat Al-Quran juga ada menerangkan keredhaanNya dan menjanjikan syurga kepada para sahabat serta orang yang mengikut jejak dan tingkah laku sahabat. [20]
1.3.7 : Amalul Ahli Madinah
            Ini bermaksud perkataan atau perbuatan yang disepakati oleh penduduk Madinah dalam lingkungan kurun hijrah yang pertama. Sebagai contoh, imam malik telah menyatakan dalam kitab al-muata’ bahawa makmum tidak perlu membaca al-fatihah dalam solat yang nyaring.kenyataan imam malik ini bedasarkan amalan penduduk madinah. Sementara itu, imam syafi’e menyatakan makmum perlu membaca surah Al-fatihah walaupun dalam solat yang nyaring berdasarkan hadith:
عن عباده بن الصامت عن رسول الله قال : لأ صلأة لمن لم يقرأ بفاتحه الكتب[21]
Tetapi Imam Malik tidak bersandarkan kepada hadith ini kerana beliau berpendapat bahawa amalul ahli madinah lebih kuat berbanding hadith ini yang bertaraf hadith ahad.[22]
1.3.8 : Uruf Wa Adat
             Uruf wa adat bererti perkataan atau perbuatan yang menjadi kebiasaan sekumpulan manusia dan diterima oleh akal yang sejahtera. Sebagai contoh, perbuatan memakai kasut di dalam rumah dalam kalangan masyarakat melayu dianggap kurang sopan. Oleh itu, setiap tetamu hendaklah menanggalkan kasut mereka sebelum memasuki rumah masyarakat melayu. Dua jenis uruf iaitu uruf sohih dan uruf fasad. Uruf sohih seperti adat merisik dan uruf fasad ialah menapung tawar dan ianya ditegah dalam Islam.[23]



2.     KEDUDUKAN AS-SUNNAH DALAM PERUNDANGAN ISLAM
As-Sunnah penting dalam membantu umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran dan seterusnya melaksanakan hukum-hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Tidak cukup memahami Al-Quran dengan pengertian dari segi bahasa sahaja. Firman Allah yang bermaksud,
“Pencuri laki-laki dan perempuan, potonglah tangan mereka…” [24]
Ayat ini merupakan contoh yang sesuai dalam masalah ini, kerana kata pencuri dalam ayat ini bersifat mutlak, begitu juga tangan. Jadi, sunnah qauliyyah menerangkan yang pertama (iaitu pencuri) dengan membatasi pencuri yang mencuri 1/4 dinar dengan sabda beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam, “Tidak dipotong tangan kecuali mencapai 1/4 dinar atau lebih…” [25]
Sebagaimana sunnah menerangkan maksud “tangan” dengan perbuatan beliau shollallahu ‘alaihi wa sallam, perbuatan sahabatnya dan kesepakatannya bahawa mereka dahulu memotong tangan pencuri pada batas pergelangan, sebagaimana telah dikenal dalam kitab-kitab hadits.
Selain itu, As-Sunnah juga penting dalam membanteras penyelewengan makna dan hukum-hukum Al-Quran. Marcapada, telah ditemukan satu kelompok yang dinamakan qur`aniyyun (inkarus sunnah) yang menafsirkan Al Quran dengan nafsu dan akal-akal mereka, tanpa meminta bantuan dengan sunnah yang sahih.
Bagi mereka, As-Sunnah hanya sebagai pengikut hawa nafsu mereka. Jika sesuai dengan nafsu mereka, maka mereka akan berpegang dengannya dan yang tidak sesuai mereka buang ke belakang punggung mereka. Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam telah mengisyaratkan tentang mereka dalam hadits yang sahih :

لاَ أَلْفَيَنَّ أَحَدُكُمْ مُتَّكِئًا عَلَى أَرِيْكَتِهِ, يَأْتِيْهِ الأَمْرُ مِنْ أَمْرِي مِمَّا أَمَرْتُ بِهِ أَوْ نَهَيْتُ عَنْهُ, فَيَقُوْلُ: لاَ أَدْرِي! مَا وَجَدْنَا فِي كِتَابِ اللهِ اتَّبَعْنَاهُ.[26]
“Salah seorang dari kalian betul-betul akan menjumpai seseorang yang sedang duduk di singgasananya, kemudian datang utusanku kepadanya dari apa yang aku perintahkan atau aku larang, maka dia berkata: `Aku tidak tahu! Semua yang kami dapatkan di dalam kitab Allah itulah yang kami ikuti.’” (HR Tirmidzi).

2.1       Definisi As-Sunnah
As-Sunnah menurut bahasa ialah cara, kebiasaan, perjalanan hidup, atau perlakuan, sama ada terpuji atau tercela. Pengertian ini berdasarkan hadith Rasulullah. Baginda bersabda :
مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا إلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ , وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا إلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ[27]
 Barang siapa melakukan suatu perbuatan sunnah yang baik , maka baginya pahala dari perbuatannya itu dan pahala dari perbuatan orang yang mengikuti perbuatan sunnah yang baik itu hingga hari kiamat, Dan barang siapa yang melakukan perbuatan sunnah yang buruk maka baginya dosa atas perbuatannya itu dan dosa dari orang yang melakukan sunnah yang buruk itu hingga hari kiamat.’’
As-Sunnah menurut istilah syarak, menurut beberapa pihak ulama’ ialah :
·         Menurut para Ahli Hadith, adalah segala sesuatu yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad, sama ada  perkataan, perbuatan, ketetapan, watak, akhlak, ataupun perlakuan, baik sebelum atau selepas diangkat menjadi nabi.
·         Menurut Ahli Usul, "Sunnah ialah sesuatu yang dinukil dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam secara khusus. la tidak ada nashnya dalam Al-Quran, tetapi dinyatakan oleh Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam dan sekaligus merupakan penjelasan awal dari isi Al-Quran." [28]
·         Menurut  Ahli Fiqh, "Sunnah itu bererti ketetapan atau hukum daripada Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam yang bukan fardhu dan bukan wajib." [29]

Berkata Imam Al-Barbahary: “Ketahuilah sesungguhnya Islam itu adalah sunnah dan sunnah adalah Islam dan tidaklah tegak salah satu dari keduanya kecuali dengan yang lainnya”[30]. Berkata Imam Asy-Syathiby: “(Kata sunnah) digunakan sebagai kebalikan/lawan dari bid’ah maka dikatakan: “Si fulan di atas Sunnah” apabila ia beramal sesuai dengan tuntunan Nabi yang sebelumnya hal tersebut mempunyai nash dari Al-Qur’an, dan dikatakan “Si Fulan di atas bid’ah” apabila ia beramal menyelisihi hal tersebut (sunnah).”[31]
2.2       Jenis-Jenis As-Sunnah
As-Sunnah terbahagi kepada tiga, iaitu :
·         Sunnah qauliyyah (ucapan Nabi shallallahu ’alaihi wasallam)
·         Sunnah fi’liyyah (perbuatan Nabi shallallahu ’alaihi wasallam)
·         Sunnah takririyyah (persetujuan Nabi shallallahu ’alaihi wasallam terhadap perkataan atau perbuatan para shahabat) 
Sunnah qauliyyah ialah segala ucapan daripada Nabi shallallahu ’alaihi wasallam. Sunnah fi’liyyah pula merupakan segala perbuatan Nabi shallallahu ’alaihi wasallam yang menjadi syariat bagi umatnya. Contohnya :
1.      Perbuatan yang dilakukan dalam rangka melaksanakan ketaatan terhadap sesuatu yamg diperintahkan sebagaimana umatnya.
2.      Perbuatan yang dilakukan semata-mata tuntutan sebagai manusia biasa (perkara jibliyah).
3.      Perbuatan yang terjadi dalam rangka beribadah, namun ada dalil yang menunjukkan hal itu khusus untuk beliau sahaja.
4.      Perbuatan yang dilakukan dalam rangka menjelaskan sesuatu yang masih umum yang ada di dalam Al-Qur’an.
5.      Perbuatan yang dilakukan yang tidak termasuk salah satu dari yang telah disebutkan di atas, dan ini ada dua jenis, sesuatu yang jelas maksudnya, iaitu dalam rangka ibadah dan sesuatu yang tidak jelas apakah dalam rangka ibadah atau tidak.
Sunnah taqririyyah adalah diamnya Nabi shallallahu ’alaihi wasallam dan beliau tidak mengingkari perkataan atau perbuatan sahabat yang terjadi di hadapannya. Contohnya ketika sahabat memakan daging sejenis biawak pasir. Baginda tidak melarang dan hanya berdiam kerana perkara itu tidak salah dari segi hukum Allah.

Oleh itu, apa saja yang dikatakan, dikerjakan, dan dipersetujui oleh Rasulullah shallallahu ’alaihi wasallam maka kita pun membenarkannya. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud,
Katakanlah, ’Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah, ’Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” [32](QS. Ali Imran: 32)


3 .        FUNGSI SUNNAH DALAM PERSPEKTIF PERUNDANGAN

Sebagaimana diketahui hadith merupakan sumber ke-2 dalam perundanagan Islam Lantaran itu Ulamak bersepakat menerima kehujjahan as-sunnah dalam mengeluarkan hukum syarak . Hal itu berdasarkan dalil Quran Hadith Dan Ijmak .Dalil Al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam surah (Al-Hasyr ayat 7) :
“ Dan apa jua suruhan dibawa oleh Rasulullah kepada kamu , maka ambillah akan dia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu patuhilah larangannya ”.
Dalam Hadith yang bermaksud, “Ingatlah sesungguhnya aku diberikan alquran dan yang seumpama dengannya iaitu Hadith .”
Menurut Ijmak Ulamak tentang sunnah dalam perundangan nabi bersifat maksum dan diberikan mukjizat untuk mengukuhkan kedudukan baginda sebagai utusan Allah dan sebagai tempat rujukan umatnya . Para sahabat dan ulamak telah bersepakat bahawa wajib kita mengikut suruhan nabi. Semasa hayat sahabat, mereka sentiasa melaksanakan perintah baginda S.A.W  dan menjauhi larangannya. Telah diketahui secara Qat’i, bahawa baginda adalah utusan daripada Allah dan dikehendaki beriman dengannya . Terdapat empat fungsi-fungsi yang wajib kita ketahui tentang perundangan dalam sunnah.







3.1       SEBAGAI MEMPERKUAT DAN MEMPERKUKUH HUKUM AL-QURAN

Al-Quran telah menetapkan dan menentukan sesuatu hukum kemudian disokong dan diperkuat oleh Sunnah. Umpamanya perintah mendirikan sembahyang, zakat, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan sebagainya.Hukum-hukum ini kemudiannya diperkuatkan lagi oleh Sunnah. Sebagai contoh Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalanperniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antarakamu.”[33]

Hukum pengharaman memakan harta secara curang telah diperkuat oleh hadis yang bermaksud:

Tidak halal harta seseorang Muslim itu melainkan dengan keredhaan dan persetujuan daripadanya.”[34]

3.2       SEBAGAI PENTAFSIR KEPADA AL-QURAN, PENGHURAI DAN  PENERANG  MAKSUD AL-QURAN

Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang memerlukan pentafsiran yang lebih lanjut, penerangan yang lebih jelas dan huraian terperinci.Pentafsiran dan penghuraian yang dibuat oleh sunnah terhadap al-Quran boleh disimpul kepada empat cara:

(a)   Menerang dan mentafsir sesuatu yang umum

Di dalam al-Quran terdapat nas yang mempunyai maksud ringkas atau dianggap umum. Fungsi Sunnah ialah menerang dan mentafsir perkara-perkara yang umum ini. Contohnya Allah memerintahkan umat Islam melaksanakan ibadat sembahyang tetapi perintah ini tidak menerangkancara bagaimana menunaikan sembahyang, waktu, bilangan rakaat, bacaan yang wajib dalam sembahyang, rukuk, sujud dan sebagainya. Sunnah melalui tunjuk ajar dari Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya menunjukkan cara-cara bagaimana sembahyang perlu dilaksanakan danperkara lain yang berkaitan dengan sembahyang. Perkara ini dijelaskan oleh hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Sembahyanglah kamu seperti mana kamu melihat akusembahyang.”[35]


(b)Mentafsir dan memperjelas kesamaran

Sesetengah ayat al-Quran kurang jelas dan samar-samar maksudnya yang sebenar.Ayat tersebut sukar difahami oleh pemikiran manusia.Walaupun nas tersebut mempunyai makna yang zahir tetapi yang dikehendaki ialah makna di sebalik makna yang zahir itu. Sebagai contoh, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamubenang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapanmalam), iaitu waktu fajar.”[36]
Maksud perkataan ‘benang putih’ dan ‘benang hitam’ di dalam ayat inisamar-samar. Melalui pemikiran dan kefahaman manusia ayat ini sukardifahami. Untuk menghilangkan kemusykilan dan menjelaskankesamaran, Nabi Muhammad s.a.w. telah menjelaskannya menerusihadisnya bahawa yang dimaksudkan dengan benang putih ialah waktu siang dan maksud benang hitam ialah waktu malam.

(c)Mengkhusus yang umum

Terdapat beberapa ayat al-Quran yang disebut secara umum dan sunnahmengkhususkan sifat umum ayat tersebut. Dengan cara ini dapatlahdiketahui bahawa maksud sebenar yang dikehendaki oleh al-Quran danhakikat hukumnya ialah bukan umum al-Quran tetapi ialah hukum yang telah dikhususkan oleh Sunnah. Sebagai contoh firman Allah yang bermaksud:

“Allah memerintahkan kamu tentang (pembahagian hartapusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.”[37]

Jelaslah secara umum Allah memerintahkan anak lelaki diberi duabahagian manakala anak perempuan pula diberi satu bahagian daripadaharta pusaka. Hukum ini berbentuk umum meliputi seluruh anak lelaki 62 dan perempuan tanpa pengecualian. Hukum umum bahagian anak lelakidan anak perempuan dalam pembahagian harta pusaka ini telah di khususoleh sunnah yang menegaskan anak yang menjadi pembunuh tidak berhak menerima harta pusaka.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Pembunuh tidak boleh mewarisi harta pusaka.”[38]

Dengan adanya hadis ini maka hukum umum al-Quran telah dikhususkan oleh hukum khusus hadis.

(d)Membataskan yang mutlak

Yang dimaksudkan dengan mutlak ialah sesuatu hukum yang disebut oleh al-Quran secara mutlak tanpa ada batasan atau ikatan. Kemutlakanini kemudiannya dibataskan oleh sunnah. Sebagai contoh al-Quran mengharamkan bangkai dan darah secara mutlak dalam
Firman Allah yang bermaksud:“Diharamkan bagi kamu bangkai, darah dan daging babi.”[39]

Kemutlakan pengharaman bangkai dan darah telah dibatasi oleh sunnahdengan beberapa pengecualian seperti yang terdapat dalam hadis yang bermaksud:
 “Di halal bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah;bangkai itu ialah bangkai ikan dan bangkai belalang, manakaladua jenis darah ialah hati dan limpa.”[40](Hadis Riwayat Daruquthni)


3.4  SEBAGAI SUMBER UNTUK MENGETAHUI NASIKH (PEMBATAL) DAN MANSUKH (YANG DIBATAL) DALAM AL-QURAN

Ada hukum-hukum di dalam al-Quran telah dimansukhkan oleh Sunnah, dengan itu hukum yang terpakai ialah yang dibawa oleh sunnah dan bukan lagi hukum di dalam al-Quran. Sebagai contoh Allah berfirman yang bermaksud:

“Diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa.”[41]                                                         

Ayat ini telah dimansukhkan oleh hadis yang bermaksud:

“Tiada wasiat bagi penerima pusaka.”[42]

Ini bermakna hukum yang mewajibkan seseorang membuat wasiatkepada ibu bapa dan kaum kerabat dalam pembahagian harta pusakatidak lagi berkuatkuasa sebaliknya hukum yang terpakai ialah hukumsunnah yang tidak membenarkan pemberian harta pusaka kepada ibubapa dan penerima pusaka secara wasiat.


3.4       TAMBAHAN KEPADA HUKUM AL-QURAN.

Dalam kes-kes tertentu sunnah bertindak untuk mengadakan danmembina hukum bagi kes-kes dan peristiwa yang tidak disebut dalam al-Quran. Sebagai contoh, sunnah mengharamkan memakai emas dansutera bagi lelaki dan mengharamkan perkahwinan yang melibatkan perempuan dengan ibu saudaranya dalam satu masa. Hukum-hukum ini tidak terdapat dalam al-Quran tetapi dijelaskan oleh Sunnah.
Selain itu kita juga dapat melihat hukum ini lebih jelas bagi penzina. Hukuman bagi penzina yang telah berkahwin mereka dikenakan hukuman rejam sampai mati. Hukuman ini tidak dijelaskan dalam al-Quran sedangkan dalam al-Quran hanya diberitahu dikenakan hukuman 100 kali sebat sahaja terhadap penzina lelaki dan perempuan.









PENUTUP

Di sini dapat kita simpulkan jika sunnah menjadi sumber kedua pembinaan tamadun Islam selepas al-Quran memperinci dan merealisasikan ajaran al-Quran berkaitan perkara-perkara yang menjadi teras dalam tamadun Islam. Bersama al-Quran, Sunnah berperanan untuk membawa dan membentuk kehidupan manusia yang sejahtera di dunia dan juga akhirat

Dari aspek akidah pula, keyakinan terhadap autoriti Sunnah merupakan sebahagian daripadarukun Iman, iaitu beriman dengan para Rasul. Sunnah merupakan sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah Sesiapa yang tidak yakin dengan Sunnah bermakna tidak yakin dengan Nabi Muhammad s.a.w. Ini jelas telah terkeluar dari akidah Islam yang sebenar. Oleh kerana itu, setiap orang Islam harus yakin dan percaya dengan autoriti serta kehujahan Sunnah sebagai salah satu sumber utama umat Islam. Tanpa Sunnah kehidupan umatIslam tidak akan sempurna. Sepertimana yang disebut dalam Sabdaan baginda S.A.W  dalam hadithnya yang berbunyi

“sesungguhnya aku tinggalkan dua perkara jikalau berpegang padanya tidak akan sesat iaitu alquran dan sunnah ” 









RUJUKAN

1          Al-Quran Al-Karim
2          Al-Hadith ( Sunnah Nabi)
3          Ustaz Abd Latif Muda & Ustazah Rosmawati Ali@Mat Zin. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Edisi pertama . Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn.Bhd. hlm
4          Amad Kamal b. Hj Mat & rakan-rakan. 2002. Al-Quran dan assunnah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
5          Muhammad b. Arifin& rakan-rakan.2002.Syariah Islamiah.Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpr




[1] Ustaz Abd Latif Muda & Ustazah Rosmawati Ali@Mat Zin. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Edisi pertama . Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn.Bhd. hlm.62
[2] Amad Kamal b. Hj Mat & rakan-rakan. 2002. Al-Quran dan assunnah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.Hlmn.57
[3] Op.cit. Hlmn.66
[4] Op.cit. Hlmn.67
[5] Op.cit. Hlmn.79                                                                                                                                                                                
[6] Surah al-Hasyar 59:7
[7] Op.cit.Hlmn.82&83
[8] Op.cit.  Hlmn 91
[9] Surah al-Baqarah 2:143
[10] Riwayat At-tirmizi dan Ibnu Majah dan Abu Daud
[11] Op.cit hlmn 92

[13] Surah al-Hasyar 59:2
[14] Muhammad b. Arifin& rakan-rakan.2002.Syariah Islamiah.Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpr: hlmn.64
[15] Ibid .hlmn. 64&65
[16] Ibid.hlmn 68
[17] Ibid. hlmn. 70
[18] Ibid. hlmn 71
19 Ibid.hlmn.72

[20] Ibid.hlm 73&74
[21] Riwayat Bukhari dan Muslim.
[22] Ibid. hlmn 75
[23] Ibid. hlmn 77 &78
[24] (Al Maidah: 38).
[25] Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
[26] Hadith riwayat Tirmidzi.
[27] Riwayat oleh Imam Muslim, Nasaii, Ibnu Majah, dan Tirmidzi dengan periwayatan yang ringkas.
[28] (asy-Syatibi, al-Muwafaqat 4: 47).
[29](asy-Syaukani, lrsyadul Fuhul, hlm. 31).


[30] Syarh As Sunnah hal 65. No. 1
[31] (Al Muwafaqat 4/4).

[32] (Ali Imran: 32)

[33] (Surah an-Nisa’ 4:29)
[34] Hadith Riwayat Muslim
[35] Hadith riwayat Bukhari.
[36] ( Surah al-Baqarah 2:187)
[37] ( Surah an-Nisa’ 4:11)
[38] Hadith riwayat Tirmidzi.
[39] ( Surah al-Maidah 5:3)
[40] Hadith Riwayat Daruquthni
[41] ( Surah al-Baqarah 2: 180)
[42] Hadith Riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment